Wednesday, December 26, 2012

Kepuasan bekerja sendiri, Aida Fadzlin



Pada waktu tulisan ini dibuat saya masih lagi seorang ibu bekerjaya, saya seorang pensyarah di salah sebuah kolej persediaan pelajar ke luar negara. Saya bekerja makan gaji dan gaji saya agak lumayan dan sebenarnya isu kewangan bukanlah  faktor yang menyebabkan saya memilih untuk berkecimpung dalam bisnes online. Saya ingin sekali membuat suatu pekerjaan yang memberi kepuasan diri serta mempunyai masa yang fleksibel agar saya dapat menentukan jadual kerja saya sendiri.
Pencarian mencari bisnes yang sesuai juga bukanlah mudah, saya pernah menjual beg wanita, biskut raya, suplemen di pejabat malah pernah juga menulis dua muka surat novel cinta kerana saya sendiri tidak pasti apakah minat serta kebolehan saya yang sebenarnya. Saya masih lagi menjual suplemen di pejabat namun saya tahu sekiranya saya ingin pergi jauh dalam bisnes dan membina empayar perniagaan saya sendiri, saya harus ada perancangan yang rapi, ilmu perniagaan serta ‘passion’ dalam bidang tersebut.
Saya berminat dengan produk ibu dan anak dan saya sangat suka membeli pakaian secara online. Terdetik dan saya pasti telah diilhamkan oleh Allah SWT di hati saya untuk menghasilkan pakaian menyusu jenama saya sendiri. Masih ramai ibu-ibu di luar sana yang mahukan baju menyusu yang bergaya namun pada masa yang sama tidak mengabaikan aspek keselesaan buat ibu dan bayi. Keistimewaan dan kelainan pada produk saya adalah produk ini tiada bukaan berzip / tiada penggunaan zip sama sekali bagi memastikan bayi tidak mengalami kesakitan akibat terkena zip yang keras.
Bertitik tolak dari niat inilah saya dan suami ke Guangzhou China untuk mencari bekalan fabrik bagi produk kami. Pengalaman pertama kali mencari stok, pembekal kain serta tukang jahit begitu mencabar. Pengalaman pahit manis berurusan dengan tukang jahit atau kilang juga sangat-sangat menguji kesabaran dan kekuatan mental saya. Namun saya kuatkan semangat, saya berpegang pada kata-kata Irfan Khairi : Pain Is Temporary But Quitting Is Forever. Saya percaya saya boleh menjadikan impian saya ini suatu kenyataan dan saya mampu mencapainya.
 Saya juga memperuntukkan sejumlah wang untuk mengikuti kursus-kursus perniagaan dan pemasaran bagi menambah ilmu serta sebagai bekalan untuk saya menghadapi cabaran alam perniagaan. Saya bersyukur kerana suami saya adalah orang yang paling kuat berada di sisi saya, suami tahu apa yang saya lalui dan dia sentiasa memberikan kata-kata semangat. Bukan setakat wang ringgit malah dia sanggup berkorban mengasuh anak-anak bagi membolehkan saya menumpukan perhatian pada urusan bisnes.
Alhamdulillah, baru tiga minggu pakaian menyusu jenama MumsLuv berada di pasaran dan mendapat permintaan dan respon yang sangat menggalakkan. Produk MumsLuv juga akan berada di tiga cawangan utama Lunatots. Alhamdulillah, doakan MumsLuv berkembang dan menjadi inspirasi kepada ramai ibu-ibu yang ingin memulakan perniagaan online.
Oleh   : Puan Aida Fazlin bt Mohd Mustafa
No Tel : 013-3971216
Pengasas MumsLuv Exclusive Nursing Wear

No comments:

Post a Comment